Memilih universiti bukan sekadar mengejar nama atau ranking semata-mata. Apa yang lebih penting ialah memastikan institusi tersebut menawarkan program yang berkualiti, diiktiraf, serta mampu membuka peluang kerjaya selepas tamat pengajian.
Namun begitu, ranking universiti tetap menjadi salah satu rujukan penting bagi pelajar lepasan SPM, STPM, matrikulasi, diploma dan ibu bapa sebelum membuat permohonan UPU atau kemasukan ke universiti swasta.
Jadi, universiti mana paling hebat di Malaysia pada tahun 2027? Berdasarkan QS World University Rankings 2027, sebanyak 32 universiti Malaysia berjaya tersenarai dalam ranking dunia, dengan lima universiti berada dalam kelompok 160 universiti terbaik dunia.
Berikut ialah senarai lengkapnya.
Baca juga: Promo Pelajar Terbaik di Malaysia 2026: 20 Diskaun & Tawaran Student Card Yang Ramai Tak Tahu
Apa itu QS World University Rankings?
QS World University Rankings merupakan antara sistem penarafan universiti paling berprestij di dunia yang diterbitkan setiap tahun oleh Quacquarelli Symonds (QS).
Ranking ini digunakan oleh jutaan pelajar di seluruh dunia sebagai panduan untuk memilih institusi pengajian tinggi terbaik.
Penilaian dibuat berdasarkan beberapa indikator utama seperti:
- Reputasi akademik
- Reputasi majikan
- Nisbah pensyarah kepada pelajar
- Sitasi penyelidikan
- Jaringan penyelidikan antarabangsa
- Pensyarah antarabangsa
- Pelajar antarabangsa
- Kebolehpasaran graduan
- Kelestarian (Sustainability)
- Hasil pekerjaan graduan (Employment Outcomes)
Semakin tinggi skor keseluruhan sesebuah universiti, semakin tinggi kedudukannya dalam ranking dunia.
Ranking Universiti Terbaik Malaysia 2027
Berikut merupakan 32 universiti Malaysia yang tersenarai dalam QS World University Rankings 2027.
| Ranking Dunia | Universiti |
|---|---|
| 56 | Universiti Malaya (UM) |
| 128 | Universiti Sains Malaysia (USM) |
| 130 | Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) |
| 138 | Universiti Putra Malaysia (UPM) |
| 158 | Universiti Teknologi Malaysia (UTM) |
| 261 | Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) |
| 272 | Taylor’s University |
| 282 | UCSI University |
| 354 | Sunway University |
| 406 | INTI International University |
| 518 | Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) |
| 528 | Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) |
| 540 | Universiti Utara Malaysia (UUM) |
| 549 | Universiti Teknologi MARA (UiTM) |
| 588 | Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) |
| 608 | Management and Science University (MSU) |
| 691 | Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) |
| 701–710 | Lincoln University College |
| 701–710 | SEGi University |
| 701–710 | Universiti Malaysia Terengganu (UMT) |
| 771–780 | Multimedia University (MMU) |
| 801–850 | Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) |
| 851–900 | Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) |
| 951–1000 | IMU University |
| 951–1000 | University of Cyberjaya |
| 1001–1200 | Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) |
| 1001–1200 | Universiti Malaysia Sabah (UMS) |
| 1001–1200 | Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) |
| 1001–1200 | Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) |
| 1201–1400 | Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) |
| 1401+ | Universiti Kuala Lumpur (UniKL) |
| 1401+ | Universiti Malaysia Kelantan (UMK) |

Sumber: QS World University Rankings 2027 (18 Jun 2026), Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
5 Universiti Terbaik Malaysia 2027
Malaysia sekali lagi membuktikan kecemerlangannya apabila lima universiti tempatan berjaya berada dalam kelompok 160 universiti terbaik dunia.
1. Universiti Malaya (UM) – Ranking Dunia #56
Universiti Malaysia terus mengekalkan status sebagai universiti terbaik di Malaysia. Sebagai universiti tertua negara, UM terkenal dengan kecemerlangan dalam penyelidikan, inovasi dan jaringan antarabangsa.
Antara bidang yang sering mendapat pengiktirafan ialah:
- Perubatan
- Kejuruteraan
- Undang-undang
- Perniagaan
- Sains
2. Universiti Sains Malaysia (USM) – Ranking Dunia #128
USM merupakan universiti penyelidikan bertaraf APEX yang terkenal dengan kecemerlangan dalam bidang sains, teknologi dan kesihatan.
Bidang popular termasuk:
- Farmasi
- Pergigian
- Kejuruteraan
- Sains
- Gunaan
- Teknologi
3. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – Ranking Dunia #130
UKM terkenal dengan kekuatan dalam penyelidikan serta pembangunan ilmu yang memberi impak kepada masyarakat.
Program yang menjadi pilihan ramai ialah:
- Perubatan
- Pendidikan
- Farmasi
- Sains Sosial
- Kejuruteraan
4. Universiti Putra Malaysia (UPM) – Ranking Dunia #1385
UPM bermula sebagai universiti yang memfokuskan bidang pertanian, namun kini berkembang menjadi antara universiti penyelidikan terbaik negara.
UPM terkenal dalam bidang:
- Pertanian
- Veterinar
- Bioteknologi
- Perhutanan
- Perniagaan
5. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – Ranking Dunia #158
UTM merupakan pilihan utama bagi pelajar yang berminat dalam bidang teknologi dan kejuruteraan.
Antara program yang menjadi kekuatan UTM ialah:
- Kejuruteraan
- Sains Komputer
- Artificial Intelligence (AI)
- Seni Bina
- Teknologi
Graduan UTM juga mempunyai kadar kebolehpasaran yang tinggi dalam sektor industri.

Universiti Awam vs Universiti Swasta: Mana Lebih Baik?
Ramai beranggapan universiti awam sentiasa lebih baik daripada universiti swasta. Hakikatnya, kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri.
Universiti awam menawarkan yuran pengajian yang lebih rendah, peluang penyelidikan yang luas serta pengiktirafan kukuh di peringkat nasional.
Sementara itu, universiti swasta seperti Taylor’s University, UCSI University, Sunway University dan APU terkenal dengan kemudahan moden, kerjasama bersama industri serta pendedahan antarabangsa.
Pilihan terbaik bergantung kepada kursus yang ingin diikuti, bajet pengajian dan hala tuju kerjaya anda.
Adakah Ranking Universiti Menentukan Masa Depan?
Jawapannya, tidak semestinya.
Ranking yang tinggi memang memberikan kelebihan dari segi reputasi institusi. Namun, kejayaan seseorang graduan juga bergantung kepada usaha dan kemahiran yang dibina sepanjang tempoh pengajian.
Majikan kini lebih menilai:
- Kemahiran komunikasi
- Pengalaman latihan industri
- Penguasaan bahasa
- Kemahiran digital
- Kepimpinan
- Portfolio projek
- Penglibatan kokurikulum
Ringkasnya, belajar di universiti terbaik merupakan satu kelebihan, tetapi sikap proaktif dan kesungguhan pelajar tetap menjadi faktor utama dalam membina kerjaya.
Tips Memilih Universiti Yang Sesuai
Sebelum membuat permohonan UPU atau memilih universiti swasta, pertimbangkan beberapa perkara berikut:
- Pastikan program diiktiraf oleh MQA dan badan profesional berkaitan.
- Semak kadar kebolehpasaran graduan.
- Pilih universiti yang mempunyai kemudahan pembelajaran yang baik.
- Bandingkan yuran pengajian dan kos sara hidup.
- Lihat peluang latihan industri dan kerjasama dengan syarikat.
- Pilih kursus yang benar-benar sesuai dengan minat dan potensi diri.
Jangan memilih universiti semata-mata kerana kedudukannya dalam ranking jika program yang ditawarkan tidak menepati cita-cita anda.
Soalan Lazim (FAQ) Ranking Universiti Terbaik Malaysia
Berdasarkan QS World University Rankings 2027, Universiti Malaya (UM) berada di kedudukan pertama di Malaysia dan ranking ke-56 dunia.
Sebanyak 32 universiti Malaysia berjaya tersenarai dalam QS World University Rankings 2027.
Ya. Antara universiti swasta yang berada dalam ranking dunia ialah Taylor’s University, UCSI University, Sunway University, APU, INTI International University, IMU University, SEGi University, Lincoln University College dan University of Cyberjaya.
Ranking boleh dijadikan panduan untuk menilai reputasi sesebuah universiti. Walau bagaimanapun, faktor lain seperti akreditasi program, kebolehpasaran graduan, kos pengajian dan minat terhadap bidang yang dipilih juga perlu dipertimbangkan.
Baca juga: Pengalaman Belajar Di Matrikulasi: 7 Perkara Yang Saya Harap Seseorang Beritahu Lebih Awal

Gerobok Penulis ialah ruang penulisan santai di ehbetulke untuk berkongsi info, panduan dan cerita yang dekat dengan kehidupan harian orang Malaysia. Dari promo, tempat makan, isu viral, tips berguna sampai pengalaman peribadi, setiap artikel ditulis dengan gaya mudah faham, tak terlalu formal dan terus kepada apa yang pembaca nak tahu.
