Hantavirus kini menjadi perhatian dunia selepas beberapa kes jangkitan dilaporkan di beberapa negara dan mula tular di media sosial.
Virus ini dipercayai berpunca daripada tikus serta boleh menyebabkan masalah kesihatan serius jika tidak dirawat dengan cepat. Ramai mula tertanya-tanya bagaimana hantavirus merebak, apakah simptomnya dan adakah ia berbahaya kepada manusia.
Artikel ini akan menerangkan apa itu hantavirus, cara jangkitan berlaku serta langkah pencegahan yang perlu anda tahu.
Baca juga: Iran Tuduh AS Langgar Gencatan Senjata Selepas Serangan Kapal Tangki
Apa itu Hantavirus?
Hantavirus ialah sejenis virus zoonotik yang merebak daripada haiwan kepada manusia, terutamanya melalui tikus dan rodensia yang dijangkiti.
Virus ini boleh tersebar melalui air liur, air kencing dan najis tikus, terutama apabila partikel tercemar di udara disedut oleh manusia. Kebanyakan kes berlaku di kawasan yang mempunyai infestasi tikus seperti stor, gudang atau rumah yang kotor.
Virus ini pertama kali dikenal pasti di kawasan Sungai Hantaan di Korea. Hantavirus mula dikesan di Amerika Syarikat pada tahun 1993 dan walaupun jarang berlaku, ia boleh menjadi berbahaya serta berpotensi membawa maut jika melibatkan paru-paru, jantung atau buah pinggang.

Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Malaysia
KKM mengeluarkan kenyataan media mengenai hantavirus susulan laporan kluster melibatkan kapal MV Hondius.
KKM memaklumkan tiada kes hantavirus dilaporkan di Malaysia setakat ini dan risiko kepada orang awam masih rendah.


Perkembangan Kes Terkini (9 Mei 2026)
Setakat hari ini, kes hantavirus sudah dikenalpasti merebak di negara jiran kita iaitu Singapuran dan Indonesia.
1. Singapura
- Dua penduduk Singapura yang menaiki kapal persiaran MV Hondius disahkan negatif hantavirus selepas menjalani ujian, menurut Agensi Penyakit Berjangkit Singapura (CDA).
- Kedua-dua lelaki berusia 65 dan 67 tahun itu berada di atas kapal serta dalam penerbangan yang sama dengan seorang pesakit hantavirus dari St Helena menuju ke Johannesburg pada 25 April lalu.
- Pesakit yang disahkan dijangkiti itu dilaporkan meninggal dunia di Afrika Selatan dan tidak pernah memasuki Singapura.
2. Indonesia
- Indonesia pula melaporkan dua kes disyaki hantavirus di Jakarta dan Yogyakarta susulan kebimbangan mengenai penularan berkaitan kapal persiaran MV Hondius.
- Menurut laporan, Indonesia merekodkan sebanyak 23 kes hantavirus yang disahkan antara tahun 2024 hingga 2026, termasuk tiga kematian.
Simptom & Gejala
Gejala hantavirus biasanya muncul dalam tempoh 1 hingga 8 minggu selepas terdedah kepada tikus yang dijangkiti, dengan tempoh inkubasi lazim sekitar 2 hingga 3 minggu.
Gejala Awal:
Antara simptom awal hantavirus ialah:
- Demam dan menggigil
- Letih lesu
- Sakit kepala
- Sakit otot, terutama di paha, pinggul, belakang badan dan bahu
- Pening kepala
- Loya dan muntah
- Cirit-birit Sakit perut atau abdomen
Gejala Teruk:
Selepas 4 hingga 10 hari, keadaan pesakit boleh menjadi lebih serius dengan gejala seperti:
- Batuk
- Sesak nafas
- Dada terasa ketat
- Cecair terkumpul di paru-paru
- Tekanan darah rendah
- Masalah buah pinggang
Hantavirus Pulmonary Syndrome (HPS) ialah komplikasi serius yang menyerang paru-paru dan boleh membawa maut jika tidak dirawat segera. Dianggarkan sekitar 38% pesakit yang mengalami simptom pernafasan berisiko meninggal dunia akibat penyakit ini.

Cara Penularan Virus
Hantavirus biasanya merebak kepada manusia melalui pendedahan kepada tikus atau rodensia yang dijangkiti.
Penularan boleh berlaku apabila seseorang terhidu zarah virus di udara daripada air kencing, najis atau air liur tikus yang telah kering dan tercemar.
Antara cara jangkitan boleh berlaku ialah:
- Terhidu debu atau partikel tercemar daripada najis dan air kencing tikus
- Menyentuh sarang atau kawasan yang dicemari rodensia
- Membersihkan ruang tertutup atau kurang pengudaraan yang mempunyai tikus
- Gigitan tikus yang dijangkiti (jarang berlaku)
- Aktiviti seperti kerja ladang, perhutanan atau tinggal di kawasan yang mempunyai infestasi tikus
Penularan daripada manusia ke manusia pula sangat jarang berlaku. Namun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan strain tertentu seperti Andes virus di Amerika Selatan berpotensi merebak antara manusia melalui kontak rapat dan berpanjangan, terutama pada fasa awal jangkitan.
Dalam kejadian terkini melibatkan kapal persiaran berhampiran Cape Verde, beberapa kes hantavirus dilaporkan dan WHO sedang memantau sama ada ia melibatkan strain Andes virus yang jarang berlaku.
Walaupun begitu, jangkitan hantavirus masih dianggap berisiko rendah kepada orang awam kerana kesnya sangat jarang berlaku.

Diagnosis & Rawatan
Diagnosis awal penting untuk mengesan jangkitan hantavirus dan mengelakkan komplikasi serius.
Walaupun tiada ubat khusus, rawatan sokongan dapat membantu pesakit pulih dan mengurangkan risiko keadaan menjadi lebih teruk.
1. Diagnosis Melalui Pemeriksaan Makmal
Hantavirus biasanya didiagnosis melalui pemeriksaan makmal seperti ujian darah untuk mengesan jangkitan virus dalam badan.
Doktor juga akan menilai simptom pesakit serta sejarah pendedahan kepada tikus atau kawasan yang tercemar. Diagnosis awal sangat penting kerana simptom hantavirus boleh menjadi serius dalam tempoh singkat.
2. Tiada Ubat Antivirus Khusus
Setakat ini, tiada ubat antivirus khusus untuk merawat hantavirus. Rawatan yang diberikan lebih tertumpu kepada mengurangkan simptom dan membantu fungsi organ pesakit agar tidak menjadi lebih teruk.
3. Rawatan Sokongan di Hospital
Pesakit yang mengalami jangkitan serius mungkin memerlukan rawatan di hospital seperti pemberian oksigen, cecair intravena dan pemantauan rapi.
Dalam kes yang teruk, pesakit boleh ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), terutama jika melibatkan masalah paru-paru atau kesukaran bernafas.
4. Rawatan Awal Tingkatkan Peluang Sembuh
Pengesanan dan rawatan awal dapat membantu meningkatkan peluang pemulihan pesakit.
Oleh itu, individu yang mengalami simptom selepas terdedah kepada kawasan yang mempunyai tikus disarankan segera mendapatkan pemeriksaan doktor.

Cara untuk Mencegah Penyebaran Virus
Pencegahan hantavirus banyak bergantung kepada usaha mengurangkan pendedahan kepada tikus dan kawasan yang tercemar.
Ramai pesakit hantavirus sebenarnya tidak menyedari kehadiran tikus atau najis tikus di sekeliling mereka, sebab itu langkah pencegahan tetap penting walaupun tiada tanda jelas infestasi rodensia.
Antara langkah pencegahan yang disarankan ialah:
1. Pastikan rumah dan tempat kerja sentiasa bersih
Elakkan longgokan sampah, habuk dan sisa makanan yang boleh menarik kehadiran tikus.
2. Tutup lubang dan celah di rumah
Tutup ruang kecil pada dinding, pintu atau garaj bagi menghalang tikus masuk ke dalam bangunan.
3. Simpan makanan dengan selamat
Gunakan bekas bertutup rapat supaya makanan tidak mudah dicemari atau menarik perhatian tikus.
4. Gunakan perangkap tikus jika perlu
Kawal infestasi tikus di rumah, tempat kerja atau kawasan perkhemahan dengan menggunakan perangkap atau mendapatkan bantuan kawalan makhluk perosak.
5. Elakkan menyapu najis tikus secara kering
Jangan terus menyapu atau menggunakan vakum pada najis tikus kerana ia boleh menyebabkan partikel virus berterbangan di udara.
6. Gunakan kaedah pembersihan yang selamat
Semburkan disinfektan pada kawasan tercemar dan biarkan beberapa minit sebelum membersihkannya. Gunakan sarung tangan dan pelitup muka ketika mencuci kawasan tersebut.
7. Amalkan kebersihan tangan
Basuh tangan dengan sabun selepas membersihkan kawasan berisiko atau selepas menyentuh objek yang mungkin tercemar.
8. Pantau kes dan elakkan kontak rapat ketika wabak
Jika terdapat kes disyaki hantavirus, pengesanan awal, pengasingan pesakit dan pemantauan kontak rapat penting bagi mengurangkan risiko penularan lanjut.

Soalan Lazim Hantavirus
Hantavirus ialah virus yang dibawa oleh tikus dan haiwan pengerat lain. Virus ini boleh menyebabkan penyakit serius kepada manusia dan dalam sesetengah kes boleh membawa maut. Individu yang mempunyai masalah kesihatan lebih berisiko mengalami komplikasi.
Seseorang boleh dijangkiti apabila menyedut udara yang tercemar dengan air kencing, najis atau air liur tikus yang mengandungi virus. Jangkitan juga boleh berlaku jika bahan tersebut terkena luka atau mata. Dalam kes yang jarang berlaku, gigitan tikus juga boleh menyebabkan jangkitan.
Kebanyakan jenis hantavirus tidak merebak daripada manusia ke manusia. Ia biasanya merebak melalui tikus dan sisa buangannya.
Namun, terdapat satu jenis hantavirus di Amerika Selatan yang dipanggil Andes virus yang pernah dilaporkan boleh merebak antara individu melalui hubungan rapat dalam tempoh lama.
Jenis hantavirus yang melibatkan penumpang kapal MV Hondius masih belum dikenal pasti.
Antara simptom yang boleh berlaku ialah:
– Badan letih, demam dan sakit otot
– Sakit kepala, pening dan menggigil
– Loya, muntah, cirit-birit dan sakit perut
– Batuk dan sesak nafas pada peringkat lebih serius
Simptom boleh muncul dalam tempoh 1 hingga 8 minggu selepas seseorang terdedah kepada virus.
Proses pemulihan boleh mengambil masa beberapa minggu bergantung kepada keadaan pesakit.
Tidak perlu terlalu risau. Aktiviti harian biasa seperti berada di tempat awam, sekolah, pejabat atau kedai tidak dianggap berisiko tinggi untuk penyebaran hantavirus.
Risiko lebih tinggi hanya berlaku jika seseorang mempunyai hubungan rapat dan lama dengan individu yang dijangkiti.
Mereka yang hanya berada sekejap di tempat yang sama, seperti menaiki kapal MV Hondius untuk beberapa jam, dianggap berisiko rendah.
Hanya individu yang dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan pesakit hantavirus akan diminta kuarantin di rumah.
Mereka akan dihubungi oleh pihak kesihatan dan diberikan maklumat lanjut serta pemantauan harian.
Ahli keluarga lain tidak perlu kuarantin bersama anda. Namun, anda digalakkan mengurangkan kontak dengan orang lain dan berada di bilik berasingan jika mampu.
Jika anda rasa pernah berhubung dengan pesakit hantavirus tetapi belum dihubungi pihak kesihatan, anda disarankan untuk mula kuarantin di rumah dan menghubungi pihak berkaitan.
Tempoh kuarantin bergantung kepada jenis hantavirus yang dikenal pasti. Maklumat lanjut akan diberikan oleh pihak kesihatan dari semasa ke semasa.
Jika anda mengalami simptom seperti demam, segera hubungi hospital untuk mendapatkan nasihat.
Jangan terus datang ke hospital tanpa arahan kerana rawatan awal melalui nasihat perubatan dapat membantu mengurangkan risiko komplikasi.
Buat masa ini, tiada vaksin atau ubat khusus untuk hantavirus. Rawatan yang diberikan biasanya bertujuan membantu mengurangkan simptom, seperti rawatan di hospital dan bantuan pernafasan jika diperlukan.




