Puasa Arafah merupakan antara puasa sunat yang sangat digalakkan dalam Islam, khususnya kepada umat Islam yang tidak menunaikan haji.
Puasa ini dilakukan pada 9 Zulhijjah dan mempunyai banyak kelebihan termasuk penghapusan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang.
Dalam artikel ini, kami kongsikan tarikh Puasa Arafah 2026, hukum pelaksanaannya serta kelebihan berpuasa pada hari yang penuh keberkatan ini.
Artikel berkaitan: Lepas Semak Keputusan UPU, Jangan Skip Step Penting Ni
Apa itu Puasa Arafah
Puasa Arafah ialah puasa sunat yang dilakukan pada 9 Zulhijjah, iaitu sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha.
Hari Arafah mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam Islam kerana ia merupakan kemuncak ibadah haji apabila jutaan jemaah berkumpul di Padang Arafah untuk melaksanakan wuquf, salah satu rukun haji yang paling utama.
Pada hari tersebut, para jemaah akan memperbanyakkan doa, ibadah dan muhasabah diri demi meraih keampunan Allah SWT.
Bagi umat Islam yang tidak menunaikan haji pula, Puasa Arafah adalah ibadah sunat yang sangat digalakkan kerana ganjarannya amat besar. Nabi Muhammad ﷺ menyebut bahawa puasa pada Hari Arafah mampu menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.
Oleh sebab itu, ramai umat Islam mengambil peluang untuk memperbaharui niat, membersihkan hati dan mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadah puasa ini.
Arafah pula merupakan nama sebuah tempat yang wajib disinggahi oleh semua jemaah haji untuk berwukuf pada waktu yang telah ditetapkan syarak.
Menurut Tafsir Al-Qurtubi, terdapat beberapa pendapat ulama tentang asal-usul nama Arafah, antaranya kerana manusia saling berkenalan di situ ketika hari wukuf.
Selain itu, ada juga riwayat menyatakan bahawa Malaikat Jibril a.s. pernah membawa Nabi Ibrahim a.s. mengelilingi kawasan tersebut sambil bertanya sama ada baginda mengenali tempat itu, lalu Nabi Ibrahim menjawab, “Saya kenal.”
Pendapat lain pula menyebut bahawa Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa bertemu semula di Arafah selepas diturunkan dari syurga.
Tarikh Puasa Arafah 2026 di Malaysia
Tarikh Puasa Arafah 2026 di Malaysia jatuh pada 26 Mei 2026 (Selasa), bersamaan 9 Zulhijjah 1447 Hijrah.
Lafaz Niat Puasa Arafah
Lafaz niat Puasa Arafah adalah seperti berikut:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ سُنَّةِ يَوْمِ عَرَفَةَ لِلهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku niat puasa sunat Arafah pada esok hari kerana Allah SWT.”
Zikir dan Doa Hari Arafah
Doa Hari Arafah ialah doa dan zikir yang diamalkan pada 9 Zulhijjah, khususnya ketika ibadah wukuf di Padang Arafah, yang merupakan antara waktu terbaik dan paling mustajab untuk memohon kepada Allah SWT.
Kelebihan doa pada Hari Arafah bukan sahaja dikhususkan kepada para jemaah haji, malah turut digalakkan untuk seluruh umat Islam termasuk mereka yang tidak menunaikan ibadah haji.
Zikir yang dianjurkan adalah seperti berikut:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِير
(Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu).” – HR Tarmizi, 3585

Daripada Ali Bin Abi Thalib beliau berkata: Kebanyakan doa yang diucapkan Rasulullah SAW pada hari Arafah di tempat wuquf adalah:
اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ كَالَّذِي نَقُولُ وَخَيْرًا مِمَّا نَقُولُ اللَّهُمَّ لَكَ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي وَإِلَيْكَ مَآبِي وَلَكَ رَبِّ تُرَاثِي اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَوَسْوَسَةِ الصَّدْرِ وَشَتَاتِ الْأَمْرِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا تَجِيءُ بِهِ الرِّيحُ
Maksudnya: “Ya Allah, segala puji bagi-Mu seperti yang kami ucapkan, dan lebih baik daripada apa yang kami ucapkan. Ya Allah, untuk-Mu solatku, ibadah hajiku, hidupku dan matiku. Kepada-Mu aku akan kembali, dan milik-Mu wahai Tuhanku kekayaanku. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada seksaan kubur, keraguan hati, serta kekacauan urusanku. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan yang dibawa oleh angin.”
(HR Tirmidzi, hadis gharib)

Selain itu, kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan bacaan Sayyidul Istighfar iaitu:
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّى لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ ، خَلَقْتَنِى وَأَنَا عَبْدُكَ ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَىَّ ،وَأَبُوءُ بِذَنْبِى ، فَاغْفِرْ لِى ، فَإِنَّهُ لا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا أَنْتَ ،
Maksudnya : “Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, Tiada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam gengganman-Mu dan di dalam perjanjian setia (beriman dan taat) kepada-Musekuat mampuku.
Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”

Waktu Mustajab Berdoa
Waktu mustajab doa Hari Arafah di Malaysia adalah adalah keseluruhan Hari Arafah. Bermaksud bermula dari terbenam matahari 8 Zulhijjah (Isnin) sehingga terbenam matahari 9 Zulhijjah (Selasa).
Semoga kita semua dapat merebut peluang terbaik ini untuk memperbanyakkan doa, zikir dan munajat kepada Allah SWT.
Hukum Berpuasa Semasa Hari Arafah
Hukum Puasa Arafah adalah sunat muakkad kepada umat Islam yang tidak mengerjakan haji serta mereka yang berada dalam keadaan bermusafir atau sakit.
Bagi jemaah haji yang sedang melakukan wukuf di Arafah, mereka tidak disarankan berpuasa kerana bimbang tubuh menjadi lemah dan menjejaskan fokus ketika beribadah.
Perkara ini juga bertepatan dengan amalan Rasulullah SAW yang tidak berpuasa ketika berada di Arafah. Selain itu, mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali turut berpandangan bahawa puasa Arafah sangat digalakkan bagi mereka yang tidak menunaikan haji, manakala jemaah haji lebih baik tidak berpuasa supaya dapat mengekalkan tenaga sepanjang ibadah haji.
Hukum Gabung Niat Puasa Arafah Dengan Puasa Ganti
Menurut Al-Kafi #1743, hukum menggabungkan niat Puasa Arafah dengan puasa ganti adalah diharuskan untuk menggabungkan beberapa niat dalam satu puasa sunat, terutama jika puasa itu dilakukan pada hari yang memang digalakkan berpuasa seperti puasa enam Syawal, hari putih, Isnin dan Khamis.
Ada ulama yang mengatakan niat perlu ditentukan secara khusus, manakala ada juga ulama yang membenarkan niat puasa sunat secara umum untuk mendapatkan beberapa pahala sekali gus.
Hukum Berpuasa Hari Arafah Tanpa Bermula Dari 1 Zulhijah
Menurut Irsyad Hukum Haji dan Korban Siri Ke-59, seseorang yang ingin berpuasa pada hari Arafah tidak wajib berpuasa pada lapan hari sebelumnya. Ini kerana hadis tentang kelebihan puasa Arafah tidak menetapkan syarat perlu berpuasa hari-hari sebelum itu.
Nabi SAW juga pernah berpuasa pada sebahagian hari dan meninggalkan sebahagian hari sebelum Arafah.
Oleh itu, seseorang boleh memilih sama ada mahu berpuasa penuh sebelum hari Arafah atau hanya berpuasa pada hari Arafah sahaja.
Kelebihan Puasa Arafah
1. Hari Arafah merupakan rukun penting dalam ibadah haji
Hari Arafah mempunyai kedudukan yang sangat besar dalam Islam kerana ia merupakan kemuncak ibadah haji. Jemaah haji akan berkumpul di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah untuk melakukan wukuf.
Tanpa wukuf di Arafah, ibadah haji tidak dianggap sempurna. Oleh sebab itu, hari ini menjadi antara hari paling mulia dalam kalender Islam.
2. Hari agama Islam disempurnakan
Hari Arafah juga dikenali sebagai hari penyempurnaan agama Islam. Pada hari inilah Allah SWT menurunkan ayat yang menjelaskan bahawa agama Islam telah lengkap dan nikmat Allah telah disempurnakan kepada umat Islam.
Ini menunjukkan betapa besarnya kemuliaan dan keberkatan hari Arafah dalam sejarah Islam.
3. Hari raya bagi umat Islam
Hari Arafah termasuk dalam hari-hari kebesaran umat Islam bersama Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyrik. Ia merupakan hari yang penuh rahmat, syukur dan ibadah.
Walaupun umat Islam yang tidak menunaikan haji digalakkan berpuasa, hari ini tetap dianggap sebagai hari istimewa dan penuh keberkatan.
4. Hari yang penuh penyaksian
Hari Arafah disebut sebagai hari penyaksian kerana ia disaksikan oleh para malaikat dan menjadi hari yang sangat agung di sisi Allah SWT.
Pada hari ini juga jutaan umat Islam berkumpul di Arafah dengan penuh keinsafan, doa dan pengharapan kepada Allah.
5. Doa pada hari Arafah sangat mustajab
Hari Arafah merupakan antara waktu terbaik untuk berdoa. Umat Islam digalakkan memperbanyakkan doa, zikir, istighfar dan memohon keampunan kepada Allah SWT.
Ramai mengambil peluang ini untuk berdoa tentang kehidupan, keluarga, rezeki dan keselamatan dunia akhirat kerana hari ini terkenal sebagai waktu doa mudah dimakbulkan.
6. Puasa Arafah menghapuskan dosa setahun
Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan haji, puasa Arafah mempunyai ganjaran yang sangat besar.
Antara kelebihannya ialah Allah SWT menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang bagi mereka yang berpuasa dengan ikhlas. Sebab itu puasa Arafah sangat digalakkan untuk diamalkan setiap tahun.
7. Hari keampunan dan pembebasan daripada api neraka
Hari Arafah juga dikenali sebagai hari pengampunan dosa. Pada hari ini, Allah SWT membebaskan ramai hamba-Nya daripada api neraka dan melimpahkan rahmat yang sangat luas kepada umat Islam.
Oleh itu, umat Islam digalakkan memperbanyakkan taubat dan ibadah agar mendapat keampunan daripada Allah SWT.
Soalan Lazim Tentang Puasa Arafah
Puasa Arafah ialah puasa sunat yang dilakukan pada 9 Zulhijjah, sehari sebelum Hari Raya Aidiladha. Ia sangat digalakkan kepada umat Islam yang tidak menunaikan haji kerana mempunyai ganjaran yang besar, termasuk penghapusan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang.
Puasa Arafah 2026 di Malaysia jatuh pada 26 Mei 2026 (Selasa), bersamaan 9 Zulhijjah 1447 Hijrah.
Hukum Puasa Arafah adalah sunat muakkad bagi umat Islam yang tidak mengerjakan haji. Ia sangat digalakkan kerana mempunyai banyak kelebihan dan ganjaran besar di sisi Allah SWT.
Tidak. Jemaah haji yang sedang melakukan wukuf di Arafah tidak digalakkan berpuasa kerana dikhuatiri boleh melemahkan badan dan mengganggu tumpuan ibadah haji.
Antara kelebihan Puasa Arafah ialah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Selain itu, Hari Arafah juga merupakan hari doa dimakbulkan, hari keampunan dosa serta hari pembebasan daripada api neraka.
Ya, diharuskan untuk menggabungkan niat Puasa Arafah dengan puasa ganti menurut sebahagian pandangan ulama. Ini termasuk dalam amalan menggabungkan beberapa niat puasa sunat pada hari yang mempunyai kelebihan tertentu.
Tidak wajib. Seseorang boleh berpuasa pada hari Arafah sahaja tanpa perlu berpuasa lapan hari sebelumnya. Puasa Arafah tetap mendapat ganjaran walaupun dilakukan secara berasingan.
Lafaz niat Puasa Arafah ialah:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ سُنَّةِ يَوْمِ عَرَفَةَ لِلهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku niat puasa sunat Arafah pada esok hari kerana Allah SWT.”
Waktu mustajab doa Hari Arafah di Malaysia bagi tahun 2026 adalah pada 26 Mei 2026 bermula jam 5:18 petang hingga 11:55 malam.
Artikel berkaitan: Hari Raya Haji 2026 Jatuh Pada Bila? Ini Tarikh Rasmi Aidiladha




