Saya Membaca Lebih 100 Buku Dalam 3 Tahun Menggunakan Kindle: Ini Pengalaman Sebenar Saya

pengalaman guna kindle selepas 3 tahun

Pengalaman guna Kindle selepas 3 tahun antara topik yang agak tidak lazim kita temukan di mana-mana. Saya sendiri tertarik untuk berkongsi mengenai isu ini kerana peranti tersebut sudah “dekat” dalam kehidupan saya, ibarat teman rapat yang sentiasa menemani ke mana sahaja.

Dalam tempoh 3 tahun penggunaan, saya telah berjaya membaca hampir 100 buah buku pelbagai genre daripada novel fiksyen, komik, makalah, buku pembangunan diri dan bermacam lagi.

Oleh sebab itu, saya rasa pengalaman jangka panjang ini dapat membantu pembaca tegar atau pemula di luar sana yang sedang mempertimbangkan sama ada Kindle berbaloi untuk dibeli atau tidak.

Artikel berkaitan: Macam Mana Nak Dapat Partner Kalau Muka Kau Ala Kadar Je?

Kenapa Saya Membeli Kindle Pada Mulanya?

Pada mulanya, saya membeli Kindle adalah kerana masalah rak buku yang semakin penuh setiap bulan. Ceritanya bermula begini, setiap bulan saya sudah terbiasa memperuntukkan sedikit wang gaji untuk membeli buku. Tidak kira buku baru atau buku second hand, paling kurang sebulan saya akan membeli satu buah buku.

Rekod paling banyak saya pernah beli, sudah semestinya ketika ada promosi jualan buku atau buku-buku terbitan baru yang saya tertarik untuk membacanya. Saya tidak mempunyai penulis kegemaran, biasanya buku yang dibeli berdasarkan tajuk dan isi kandungan yang menarik minat saya untuk membaca.

Apabila rak terlalu padat dan penuh dengan buku di rumah, mak mula bersuara dan menegur saya. Setiap hari mendengar bebelan yang sama memang boleh berasap telinga. Ditambah, bila rak semakin penuh, susunan buku akan jadi tidak kemas sehingga menyebabkan ruangan tersebut mudah berhabuk.

Dari situlah punca saya mula beralih untuk membaca menggunakan Kindle.

Kindle Yang Saya Gunakan Selama 3 Tahun

Kindle yang saya gunakan sekarang adalah model 11th generation Signature Edition yang dilengkapi dengan memori 32GB. Model 11th generation sebenarnya mempunyai tiga variasi di pasaran iaitu Basic, Paperwhite dan Paperwhite Signature.

Jika dilihat dengan mata kasar, ketiga-tiga model ini hampir sama. Tetapi sebenarnya, model Signature Edition mempunyai kelebihan dari segi kapasiti storage yang besar, kemampuan wireless charging dan auto-adjusting front light yang mana ia boleh menetapkan kadar cahaya mengikut suasana persekitaran secara automatik.

Pengalaman Guna Kindle 3 Tahun: Berbaloi Atau Tidak?

Berapa Banyak Buku Yang Saya Baca Dalam Tempoh 3 Tahun?

Sejujurnya, saya tidaklah mengira dengan tepat berapa banyak buku yang telah habis saya baca melalui Kindle. Tetapi jika dikira secara kasar, jumlahnya memang lebih banyak berbanding jika saya membaca buku fizikal.

Ibarat jika dalam sebulan saya boleh habiskan 3 buah buku fizikal, tetapi dengan Kindle saya boleh habiskan 2 kali ganda daripada itu.

Pengalaman membaca melalui Kindle biasanya menyebabkan kita lebih fokus dan tidak terlalu mengejar untuk habis dengan cepat. Ini kerana Kindle mempunyai tetapan tersendiri yang membenarkan kita untuk mengubah jenis / saiz tulisan, tema dan layout muka surat.

Semangat untuk menbaca jadi lebih berkobar-kobar sehingga saya sendiri tidak sedar dah sampai muka surat mana? Tau-tau dah habis sebuah buku dalam sehari.

5 Perkara Yang Saya Suka Tentang Kindle

Ada banyak kelebihan Kindle, tetapi yang saya kongsikan ini adalah perkara yang saya benar-benar perasan daripada pengalaman guna Kindle selepas 3 tahun.

1. Senang Dibawa Ke Mana Sahaja

Walaupun saya lebih banyak menggunakan Kindle di rumah, tetapi setiap kali perlu melakukan perjalanan jauh atau berada dalam kenderaan saya pasti akan membawa Kindle bersama.

Oleh disebabkan Kindle saiznya kecil dan ringan, memang tiada masalah untuk diletakkan dalam beg atau dipegang bawa berjalan. Berbeza kalau bawa buku biasa, saya akan bersikap lebih paranoid untuk elak buku dari basah dam terkelepet.

2. Boleh Baca Pada Waktu Malam Tanpa Buka Lampu

Ini adalah masalah yang paling biasa berlaku pada saya ketika membaca buku tetapi sudah berjaya diselesaikan oleh Kindle. Oleh kerana kesibukan kerja, biasanya saya akan membaca buku pada waktu malam atau awal pagi sebelum subuh.

Saya memang sukakan suasana bilik yang tidak terlalu terang dengan lampu, jadi kebiasaannya ini agak menyukarkan apabila ingin membaca buku sambil baring. Tetapi dengan Kindle yang ada backlit memang seronoklah dapat baca buku dalam gelap.

Mata tak sakit, tak ngangu orang sekeliling. Mood on katil tetap jalan!

3. Boleh Kumpul Beribu Buku Dalam Satu Peranti

Model Kindle yang saya beli sudah tersedia dengan memori 32GB jadi memang banyak file buku boleh disimpan. Rekod sekarang ini, ada lebih seribu buah buku saya miliki dalam Kindle.

4. Bateri Tahan Sebulan

Sepanjang penggunaan Kindle selama 3 tahun ni, tidak pernah walau sekali bateri tinggal 0%. Sebabnya, saya mesti akan charge walaupun 80%, jenis pantang nampak bateri turun. Itu kalau saya menggunakannya dengan kerap.

Tetapi kalau dalam sebulan hanya sekali atau dua kali guna, bateri boleh kekal awet tak turun dari dari 95%. Jadi kalau diikutkan, boleh tahan berbulan-bulan sebenarnya kalau jarang guna.

Lagi satu nak charge pun senang. Bawa satu cable type c, boleh guna untuk Kindle, iPhone dan Airpods sekali.

5. Buku Ebook Murah

Kalau buat perbandingan antara buku fizikal yang dijual di pasaran dan ebook, memang jelas ebook lebih murah dari segi harga.

Bayangkan sahaja, sebuah buku novel yang berharga RM30 di pasaran, saya boleh dapatkan 50% kurang daripada harga tersebut! Ini belum dikira jika penulis membuat promosi kombo besar-besaran sehingga boleh jatuh harga sebuah ebook hanya RM5 sahaja.

5 Perkara Yang Saya Tidak Suka Tentang Kindle

Namun, pengalaman guna Kindle selepas 3 tahun juga menunjukkan beberapa kekurangan yang mungkin perlu dipertimbangkan sebelum membeli.

1. Tidak Semua Buku Ada Ebook

Perkara pertama yang saya tidak suka tentang Kindle ialah tidak semua buku yang saya mahu ada tersedia dalam versi ebook. Ini terutamanya melibatkan buku-buku terbitan tempatan, buku lama atau buku daripada penerbit kecil.

Ada masanya saya mencari tajuk di Amazon tetapi langsung tidak menemuinya dalam format digital. Akhinya, saya tetap perlu membeli versi fizikal.

Mujurlah saya sempat membeli beberapa judul buku keluaran The Patriots dan novel ebook dari syarikat penerbitan digital lain. Namun asbab kekangan buku Bahasa Melayu dalam versi ebook inilah menyebabkan saya jadi gemar membaca buku Bahasa Inggeris.

Jika dulu setiap kali buka buku Bahasa Inggeris, kepala mesti pening tetapi sekarang boleh baca dengan laju macam air. Memang suatu perubahan yang besar dalam hidup saya.

2. Tiada Google Play Store

Jika anda baru cuba-cuba untuk beralih daripada tablet Android ke Kindle, anda mungkin akan terkejut kerana Kindle tidak mempunyai Google Play Store.

Walaupun setakat yang saya tahu hari ini, peranti seangkatan dengan Kindle seperti BOOX, Bigme, Pocketbook Color Note, dan beberapa model lagi sudah dilengkapi dengan Play Store.

Saya merasakan Play Store penting dimasukkan dalam peranti seperti ini kerana selain membeli ebook yang dijual di pasaran, kita juga boleh mendapatkan bahan bacaan percuma dari aplikasi seperti Wattpad, atau beli ebook dari e-sentral, Kaki Buku, Cereka dan bermacam lagi.

3. Isu “Lag”

Ingat Kindle adalah eReader bukan telefon moden yang laju dalam memberi respon. Kita tidak boleh mengukurnya dari segi 60 Hz, 90 Hz, atau 120 Hz. Bahkan ada info dari Hacker News menyatakan bahawa, Kindle hanya mempunyai refresh rate setakat 2-4 Hz sahaja.

Tapi bagi saya isu lag bukanlah isu yang besar kalau kita faham penggunaan sebenar dan tujuan beli setiap eReader.

Namun jika anda rasa ini adalah “red flag” untuk anda, boleh cuba beralih pada penggunaan mini tablet yang lain macam Ipad Mini, MatePad Mini, Galaxy Tab, Tab One atau sebagainya.

4. Fungsi Audiobook

Kindle sebenarnya menyokong audiobook melalui Audible untuk model tertentu, tetapi pengalaman ini tidak semudah yang saya jangkakan.

Sebahagian besar koleksi audiobook lebih tertumpu kepada pasaran antarabangsa dan berbahasa Ingegris. Jujur, ada fungsi audiobook atau tidak bukanlah menjadi satu masalah bagi saya.

Saya sendiri lebih banyak membaca berbanding mendengar buku. Tetapi jika tentang podcast, platform seperti Youtube dan Spotify menjadi pilihan yang tepat.

5. Tidak Berwarna

Saya rasa isu dan cadangan untuk menjadikan Kindle dalam versi berwarna menjadi impian peminat-peminat eReader setiap tahun yang menanti pengumuman itu. Hanya pada penghujung tahun 2024 barulah keinginan itu termakbul setelah model Kindle Colorsoft dilancarkan.

Baik versi berwarna dah ada, sekarang isu harganya pula. Untuk sebuah Kindle Colorsoft, anda perlu melabur sehingga RM1,700! Bagi saya harganya sangat tinggi jika dibanding dengan Kobo Clara, Kobo Libra Colour, PocketBook Era, dan Onyx Boox Go Color 7.

Skrin Kindle yang saya miliki ini hanya memaparkan warna hitam, putih dan beberapa tahap kelabu. Ini kerana Kindle masih menggunakan E-ink sebagai paparan utama.

Saya suka E-ink kerana ia menyerupai seakan-akan ink pada kertas buku, memang tak rasa macam tengah pegang eReader.

Tetapi mungkin kadang kala yang jadi kurang menarik bila mana saya nak baca komik atau buku yang bergambar. Walaupun gambar dan dialog masih boleh dibaca tetapi pengalamannya jauh berbeza dengan komik fizikal.

Artikel berkaitan: Promo Pelajar Terbaik di Malaysia 2026: 20 Diskaun & Tawaran Student Card Yang Ramai Tak Tahu

Bagaimana Keadaan Kindle Saya Selepas 3 Tahun?

Walaupun sudah masuk 3 tahun penggunaannya, Kindle ini masih mampu berfungsi dengan sangat baik (10/10). Kemampuan baterinya juga masih ditahap yang cemerlang.

Saya masih boleh tersenyum lebar walaupun selepas 1 – 2 jam membaca tanpa henti kerana baterinya mampu bertahan untuk berminggu-minggu lagi. Jika di charge semula sekalipun (bateri 50%), tidak mengambil masa sehingga 30 minit untuk penuh semula (100%).

Sepanjang 3 tahun ini, hanya 2 kali sahaja saya menukar casing luarnya itu untuk lebih selesa ketika membaca. Saya bukanlah seorang yang estetik atau gemar menghiasnya dengan stiker dan gambar. Cukup sekadar letak cover untuk elak dari calar dan habuk.

pengalaman guna kindle selepas 3 tahun

Siapa Yang Mungkin Tidak Memerlukan Kindle?

Bagi saya sendiri, Kindle memang sesuai digunakan untuk semua peringkat umur tidak kira siapa selagi mana dia nak membaca.

Jika kita cakap Kindle hanya untuk orang muda, saya pernah tengok orang tua yang sudah bercermin mata pun guna Kindle.

Kalau kita cakap Kindle tidak sesuai untuk orang yang memartabatkan buku-buku terbitan asli dan fizikal, saya juga pernah nampak penulis dan penerbit buku di luar sana menggunakan e-Reader dan bahkan mempromosikannya kepada pengikut mereka di media sosial.

Justeru itu, mudah untuk kita katakan Kindle atau apa sahaja peranti e-book di luar sana sesuai untuk semua orang.

Tetapi bagi golongan tertentu yang sangat menghargai nilai estetika setiap helaian buku, atau seorang pembaca kasual yang mungkin hanya sempat membaca sebuah buku dalam setahun, atau individu yang mempunyai masalah penglihatan seperti buta dan sebagainya, peranti seperti ini mungkin tidak terlalu “friendly” untuk anda.

Jika Saya Perlu Membeli Kindle Sekali Lagi, Adakah Saya Akan Membelinya?

Selepas menggunakan Kindle selama lebih tiga tahun dan menghabiskan lebih 100 buah buku, saya boleh katakan bahawa saya tidak menyesal membelinya. Malah, Kindle banyak membantu saya membina tabiat membaca yang lebih konsisten berbanding sebelum ini.

Namun, jika Kindle yang saya gunakan sekarang rosak dan saya perlu membeli peranti baharu, saya mungkin akan mempertimbangkan BOOX terlebih dahulu. Ini kerana beberapa model BOOX menawarkan akses kepada Google Play Store, membolehkan saya memasang pelbagai aplikasi membaca mengikut keperluan. Selain itu, BOOX juga mempunyai model skrin berwarna pada harga yang agak kompetitif berbanding sesetengah peranti e-reader lain di pasaran.

Walaupun begitu, keputusan tersebut bukan kerana Kindle tidak bagus. Sebaliknya, ia lebih kepada keinginan untuk mencuba sesuatu yang berbeza selepas bertahun-tahun berada dalam ekosistem Kindle. Dari segi pengalaman membaca semata-mata, Kindle masih antara peranti terbaik yang pernah saya gunakan.

Rating Saya Selepas 3 Tahun Menggunakan Kindle

KategoriRating
Pengalaman Membaca9.5/10
Ketahanan Bateri10/10
Keselesaan Mata10/10
Mudah Dibawa Ke Mana-Mana10/10
Prestasi Harian8.5/10
Pilihan Ebook8/10
Fungsi Audiobook6/10
Bacaan Komik & Kandungan Berwarna6/10
Nilai Untuk Wang9/10

Rating Keseluruhan: 9/10

Selepas tiga tahun penggunaan, Kindle masih antara gajet yang paling kerap saya gunakan. Ia bukan peranti yang sempurna, tetapi untuk membaca ebook, sukar untuk saya mengatakan bahawa pembelian ini tidak berbaloi.

Malah, jika saya berjaya membaca lebih 100 buah buku dalam tempoh tersebut, Kindle mungkin antara sebab utama mengapa tabiat membaca itu dapat dikekalkan.

Soalan Lazim (FAQ) Tentang Kindle

1. Adakah Kindle benar-benar lebih selesa untuk mata berbanding telefon?

Berdasarkan pengalaman saya menggunakan Kindle selama beberapa tahun, ya. Skrin E Ink pada Kindle tidak memancarkan cahaya seperti telefon pintar, menyebabkan mata terasa kurang letih ketika membaca dalam tempoh yang lama. Saya sendiri lebih selesa membaca selama satu hingga dua jam di Kindle berbanding telefon.

2. Berapa banyak buku boleh disimpan dalam Kindle?

Kebanyakan model Kindle boleh menyimpan ribuan ebook pada satu masa. Sepanjang penggunaan saya, ruang storan tidak pernah menjadi masalah walaupun sudah memuat turun ratusan buku.

3. Adakah Kindle sesuai untuk orang yang jarang membaca?

Ya, tetapi ia bergantung kepada tujuan pembelian. Ramai membeli Kindle dengan harapan dapat membaca lebih banyak buku. Dalam kes saya, Kindle membantu membentuk tabiat membaca kerana lebih mudah membawa buku ke mana-mana berbanding buku fizikal.

4. Adakah Kindle boleh menggantikan buku fizikal sepenuhnya?

Bagi saya, tidak sepenuhnya. Walaupun saya membaca majoriti buku menggunakan Kindle, masih ada buku tertentu yang saya lebih suka miliki dalam bentuk fizikal, terutamanya buku bergambar, koleksi khas atau buku yang sering dijadikan rujukan.

5. Adakah Kindle memerlukan internet untuk membaca?

Tidak. Selepas ebook dimuat turun ke dalam peranti, anda boleh membaca secara luar talian tanpa sambungan internet. Saya sering membawa Kindle ketika melancong tanpa perlu bergantung kepada Wi-Fi.

6. Berapa lama bateri Kindle boleh bertahan?

Ini antara perkara yang paling saya suka tentang Kindle. Dengan penggunaan biasa, bateri boleh bertahan selama beberapa minggu. Saya tidak perlu mengecasnya setiap hari seperti telefon pintar.

7. Adakah Kindle menyokong buku Bahasa Melayu?

Ya. Kindle boleh membaca ebook Bahasa Melayu selagi format fail tersebut serasi. Saya sendiri pernah memuat naik beberapa ebook Bahasa Melayu menggunakan platform Calibre.

8. Kindle atau iPad, yang mana lebih sesuai untuk membaca?

Jika tujuan utama anda ialah membaca buku, saya lebih cenderung memilih Kindle. Skrin E Ink lebih selesa untuk bacaan jangka panjang dan baterinya jauh lebih tahan lama. Namun, iPad lebih sesuai jika anda memerlukan fungsi tambahan seperti menonton video atau membuat kerja pejabat.

9. Adakah Kindle berbaloi untuk dibeli pada tahun ini?

Jika anda membaca sekurang-kurangnya beberapa buah buku setiap bulan, Kindle boleh menjadi pelaburan yang berbaloi. Dalam pengalaman saya, kos pembelian Kindle dapat diimbangi dengan penjimatan daripada ebook yang selalunya lebih murah berbanding buku fizikal.

10. Apakah perkara yang saya tidak suka tentang Kindle?

Antara kekurangannya ialah Kindle tidak memberikan pengalaman yang sama seperti memegang buku fizikal. Selain itu, sesetengah fail PDF yang mempunyai banyak grafik atau jadual mungkin tidak dipaparkan dengan sempurna pada skrin Kindle.

11. Apakah sebab utama saya masih menggunakan Kindle selepas bertahun-tahun?

Sebab paling utama ialah kemudahan. Saya boleh membawa ratusan buku dalam satu peranti yang ringan, membaca pada waktu malam tanpa mengganggu orang lain dan membeli buku baharu dalam beberapa minit sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Index