Hari Raya Haji 2026 atau Aidiladha merupakan salah satu perayaan penting bagi umat Islam yang disambut setiap tahun di seluruh dunia.
Selain sinonim dengan ibadah korban dan musim haji, ramai juga yang ingin mengetahui tarikh rasmi sambutan serta cuti umum yang diberikan di Malaysia. Jadi, Hari Raya Haji 2026 jatuh pada bila?
Berikut dikongsikan tarikh rasmi Aidiladha 2026 beserta info penting untuk rujukan anda.
Baca juga: 8 Hotel Murah Kuala Lumpur Dengan Promo Staycation Jun 2026 — Siap Breakfast & Review Bilik
Apa itu Hari Raya Haji
Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji merupakan salah satu perayaan penting dalam agama Islam yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia setiap tahun. Perayaan ini jatuh pada 10 Zulhijjah, iaitu bulan terakhir dalam kalendar Islam.
Hari Raya Aidiladha disambut bagi memperingati pengorbanan besar Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam menunjukkan ketaatan kepada Allah SWT.
Menurut kisah dalam Al-Quran, Nabi Ibrahim diperintahkan untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail sebagai ujian keimanan.
Antara pengajaran dan keistimewaan Hari Raya Haji ialah:
- Melambangkan keikhlasan, pengorbanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
- Mengingatkan umat Islam tentang kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang taat kepada perintah Allah.
- Allah SWT menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kambing sebagai korban melalui malaikat Jibril.
- Disambut selepas umat Islam selesai menunaikan ibadah haji, iaitu rukun Islam kelima.
- Dianggap sebagai antara hari raya paling besar dan mempunyai banyak kelebihan dalam Islam.
Pada Hari Raya Aidiladha, umat Islam akan menyambutnya dengan penuh kesyukuran dan ibadah kepada Allah SWT. Antara amalan yang dilakukan ialah:
- Menunaikan solat sunat Aidiladha
- Melaksanakan ibadah korban
- Mengagihkan daging korban kepada golongan memerlukan
- Mengeratkan silaturahim bersama keluarga dan masyarakat
Selain itu, sambutan Hari Raya Haji juga membawa suasana kegembiraan, kasih sayang dan semangat bantu-membantu dalam kalangan umat Islam.
Bilakah Hari Raya Haji 2026?
Hari Raya Haji 2026 dijangka diraikan pada 27 Mei 2026 (Rabu), manakala cuti hari kedua pula jatuh pada 28 Mei 2026 (Khamis).
Minggu tersebut menjadi waktu yang ideal untuk bercuti pendek, balik ke kampung halaman serta membuat persiapan majlis dan jamuan bersama keluarga.
Bilakah Cuti Sempena Hari Raya Haji 2026?
Cuti Hari Raya Korban pada hari pertama merupakan cuti kelepasan am yang diraikan di seluruh negeri di Malaysia. Manakala bagi hari kedua Hari Raya Korban, cuti kelepasan am hanya diberikan di dua negeri berikut:
- Kedah
- Perlis
Sila rujuk Jadual Hari Kelepasan Am Persekutuan dalam lampiran di bawah:



Mengikut pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sambutan Hari Raya Aidiladha dijangka jatuh pada 27 Mei 2026 (Rabu).
Sebagai makluman, tiada cuti sekolah tambahan diberikan sempena Hari Raya Aidiladha selain yang telah dinyatakan sebelum ini.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Takwim Persekolahan KPM, sila rujuk kalendar akademik yang disediakan oleh KPM seperti di bawah:



Amalan Semasa Menyambut Hari Raya Haji
Hari Raya Aidiladha disambut bukan sahaja dengan penuh kegembiraan, tetapi juga dengan pelbagai amalan sunnah dan ibadah sebagai tanda kesyukuran serta menghayati semangat pengorbanan dan ketakwaan.
Berikut antara amalan semasa menyambut Hari Raya Haji:
1. Mandi Sunat Hari Raya
Antara amalan sunat yang digalakkan ketika menyambut Hari Raya Aidiladha ialah mandi sunat sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.
Amalan ini bertujuan membersihkan diri serta menyambut hari kebesaran Islam dalam keadaan segar, bersih dan kemas.
Selain menjaga kebersihan fizikal, mandi sunat juga melambangkan persediaan rohani untuk beribadah dan mengagungkan syiar Islam pada hari yang penuh keberkatan ini.
2. Memakai Pakaian Terbaik & Berwangi-Wangian
Umat Islam digalakkan memakai pakaian yang terbaik, bersih, kemas dan sopan ketika menyambut Hari Raya Aidiladha.
Tidak semestinya pakaian baharu, memadai pakaian yang elok dan sesuai sebagai tanda menghormati hari kebesaran Islam.
Selain itu, memakai wangian juga merupakan sunnah yang dianjurkan terutama bagi lelaki untuk menambahkan keselesaan dan kebersihan diri ketika berkumpul bersama masyarakat di masjid atau surau.
Daripada Jabir RA katanya:
كَانَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بُرْدٌ يَلْبَسُهَا فِي الْعِيدَيْنِ وَالْجُمُعَةِ
Nabi SAW mempunyai satu jubah yang Baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.
Riwayat al-Baihaqi (5985) dan Ibn Khuzaimah (3/246)
Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW turut mengambil berat tentang penampilan ketika menyambut hari kebesaran Islam sebagai tanda memuliakan hari tersebut.
3. Bertakbir Dari Malam Raya Hingga Hari Tasyrik
Takbir Aidiladha mula dilaungkan selepas Maghrib pada 9 Zulhijjah dan berterusan sehingga 13 Zulhijjah, iaitu sepanjang hari Tasyrik.
Laungan takbir ini bertujuan membesarkan dan memuji Allah SWT serta menyemarakkan suasana Hari Raya dengan penuh rasa keinsafan dan kesyukuran.
Takbir Aidiladha biasanya dilaungkan di masjid, surau, rumah dan juga ketika selesai solat fardu secara berjemaah.
Amalan bertakbir ini bukan sahaja menghidupkan suasana Aidiladha, malah mengingatkan umat Islam tentang kebesaran Allah SWT dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS serta Nabi Ismail AS.
4. Tidak Makan Sebelum Solat Aidiladha
Berbeza dengan Hari Raya Aidilfitri, umat Islam disunatkan untuk tidak makan terlebih dahulu sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha.
Sunnah ini diamalkan oleh Rasulullah SAW sebagai tanda menghormati ibadah korban yang akan dilaksanakan selepas solat Hari Raya. Kebiasaannya, umat Islam akan makan selepas selesai solat dan selepas daging korban diagihkan.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم لَا يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَطْعَمَ وَلَا يَطْعَمُ يَوْمَ الْأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّي
Nabi Muhammad SAW tidak keluar ke tempat solat pada Aidilfitri sehinggalah baginda makan terlebih dahulu. Dan baginda tidak makan pada Aidiladha sehinggalah baginda solat terlebih dahulu.
HR at-Tirmidzi, hadis sahih
5. Menunaikan Solat Sunat Aidiladha
Solat sunat Aidiladha merupakan solat sunat dua rakaat yang sangat dituntut dan biasanya dilakukan secara berjemaah di masjid, surau atau kawasan lapang.
Solat ini menjadi simbol penyatuan umat Islam tanpa mengira pangkat dan kedudukan kerana semua berkumpul bersama-sama untuk mengagungkan Allah SWT.
Selain menunaikan solat, khutbah Aidiladha yang disampaikan selepas solat juga memberi peringatan tentang pengorbanan, keikhlasan dan kepentingan membantu golongan yang memerlukan.
Oleh sebab itu, umat Islam sangat digalakkan hadir awal dan bersama-sama menghidupkan suasana Hari Raya dengan ibadah.
6. Mengambil Jalan Berbeza Pergi dan Balik
Salah satu sunnah Rasulullah SAW ketika Hari Raya ialah melalui jalan yang berbeza ketika pergi dan pulang dari tempat solat. Amalan ini mempunyai hikmah tersendiri seperti memperluaskan syiar Islam, memberi peluang bertemu lebih ramai orang serta menyebarkan salam dan ukhuwah sesama masyarakat.
Daripada Jabir bin Abdullah RA:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Nabi SAW (apabila pulang daripada solat) pada hari raya Baginda melalui jalan lain (bukan jalan yang sama ketika pergi untuk solat).
Riwayat al-Bukhari (986)
Walaupun nampak sederhana, amalan ini menunjukkan keindahan akhlak dan sunnah Rasulullah SAW dalam mengeratkan hubungan sesama umat Islam.
7. Ziarah Menziarahi
Hari Raya Aidiladha juga merupakan masa terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturrahim bersama keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai.
Aktiviti ziarah-menziarahi dapat menghidupkan suasana harmoni serta mengeratkan kasih sayang dalam masyarakat.
Walaupun hanya berkunjung dalam tempoh yang singkat, amalan ini mampu menggembirakan hati insan lain dan mengukuhkan hubungan kekeluargaan yang mungkin jarang bertemu disebabkan kesibukan harian.
8. Bermaaf-maafan
Aidiladha turut menjadi peluang terbaik untuk saling bermaafan dan melupakan perselisihan yang pernah berlaku.
Sikap memohon maaf dan memaafkan dapat membersihkan hati serta mengeratkan hubungan sesama insan.
Semangat pengorbanan yang dibawa dalam Aidiladha bukan sahaja melibatkan harta dan tenaga, tetapi juga pengorbanan ego dan perasaan demi menjaga keharmonian hubungan kekeluargaan dan persaudaraan.
9. Bersedekah
Hari Raya Aidiladha amat sinonim dengan amalan bersedekah dan membantu golongan yang memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim dan asnaf.
Selain ibadah korban, umat Islam juga digalakkan memperbanyakkan sedekah dalam bentuk makanan, wang ringgit atau bantuan lain.
Amalan ini bukan sahaja dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan, malah memupuk sifat prihatin, kasih sayang dan semangat berkongsi rezeki dalam masyarakat.
Aidiladha mengajar umat Islam bahawa kebahagiaan sebenar juga datang daripada memberi dan membantu orang lain.
Perbezaan Raya Aidiladha dan Aidilfitri
| Ciri-Ciri | Aidiladha | Aidilfitri |
|---|---|---|
| Nama | Nama lain ialah hari raya haji, hari raya korban | Nama lain ialah hari raya puasa, hari lebaran |
| Waktu | Disambut pada 10, 11, 12,13 Zulhijah. | Disambut pada 1 Syawal. |
| Perkara Sunat Semasa Raya | Sunat tidak makan sebelum solat hari raya iaitu pada 10 Zulhijah. | Sunat makan sebelum solat hari raya iaitu pada 1 Syawal. |
| Solat Raya | Solat raya dipercepatkan bagi menyegerakan urusan sembelihan korban. | Solat raya dilambatkan bagi memberi peluang orang membayar zakat. |
| Takbir | Takbir Mursal/Mutlak bermula 1 Zulhijah. Takbir Muqayyad dikumandangkan selepas solat fardu bermula subuh 9 Zulhijah hingga asar 13 Zulhijah. | Takbir dikumandangkan bermula maghrib 1 Syawal hingga selesai solat raya. |
| Sembelihan Haiwan | Sembelihan korban berlaku selepas khutbah raya hingga asar 13 Zulhijah. | Sembelihan korban tidak berlaku. |
| Pelaksanaan Ibadah Haji | Ibadah haji boleh dilakukan bermula 8 Zulhijah hingga 13 Zulhijah. | Tiada ibadah haji dikerjakan. |
Hikmah Hari Raya Haji
Hari Raya Aidiladha bukan sekadar sambutan perayaan umat Islam, tetapi turut membawa pelbagai hikmah, pengajaran dan nilai murni yang sangat besar dalam kehidupan.
Sambutan ini mengingatkan umat Islam tentang erti pengorbanan, keikhlasan, perpaduan serta ketakwaan kepada Allah SWT.
Antara hikmah Hari Raya Haji ialah:
- Melambangkan kesatuan umat Islam – Walaupun umat Islam terdiri daripada pelbagai bangsa, bahasa dan budaya, semuanya tetap bersatu menyembah Allah SWT yang satu. Aidiladha mengajar umat Islam supaya menjaga perpaduan dan mengelakkan perpecahan.
- Menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS – Peristiwa Nabi Ibrahim yang sanggup mengorbankan anaknya demi mematuhi perintah Allah SWT menjadi simbol keimanan, ketaatan dan keikhlasan yang tinggi.
- Meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT – Aidiladha mengajar umat Islam supaya sentiasa taat kepada segala perintah Allah SWT dengan penuh keyakinan dan keikhlasan.
- Mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadah korban – Penyembelihan haiwan korban dilakukan sebagai tanda syukur dan usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.
- Mengikis sifat tamak dan bakhil – Ibadah korban melatih umat Islam supaya lebih pemurah, ikhlas berkongsi rezeki dan tidak terlalu mencintai harta dunia.
- Membantu golongan fakir dan miskin – Daging korban diagihkan kepada golongan yang memerlukan supaya mereka turut dapat merasai kegembiraan Hari Raya.
- Memupuk semangat bersedekah dan memberi – Aidiladha mendidik umat Islam supaya lebih suka memberi bantuan kepada orang lain berbanding hanya menerima.
- Menguatkan ukhuwah dan silaturahim – Sambutan Aidiladha mengeratkan hubungan sesama keluarga, jiran dan masyarakat melalui amalan ziarah, gotong-royong dan agihan korban.
- Melahirkan sifat empati dan prihatin – Syariat korban mengajar umat Islam supaya sentiasa mengambil berat tentang kebajikan masyarakat dan membantu mereka yang susah.
- Mengajar nilai kesabaran dan keikhlasan – Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail menunjukkan bahawa setiap ujian perlu dihadapi dengan sabar serta penuh keimanan kepada Allah SWT.
- Menghindarkan sifat ego dan mementingkan diri – Aidiladha mengingatkan umat Islam supaya mengutamakan kebersamaan, kerjasama dan semangat persaudaraan.
- Menghidupkan syiar Islam – Laungan takbir, ibadah korban dan solat sunat Aidiladha menjadi simbol kebesaran Islam yang diraikan oleh umat Islam di seluruh dunia.
- Menghayati hikmah ibadah haji – Aidiladha turut mengingatkan umat Islam tentang nilai kebersamaan, kesucian, perdamaian dan solidariti yang terdapat dalam ibadah haji.
- Menegaskan bahawa semua umat Islam adalah bersaudara – Islam mengajar bahawa manusia adalah sama di sisi Allah SWT dan yang membezakan hanyalah ketakwaan mereka.
Soalan Lazim Hari Raya Haji 2026
Hari Raya Haji 2026 dijangka disambut pada 27 Mei 2026 (Rabu). Namun, tarikh rasmi tertakluk kepada pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.
Ya, Hari Raya Aidiladha merupakan cuti umum di Malaysia. Kebanyakan negeri turut menikmati cuti hari kedua pada 28 Mei 2026 (Khamis).
Hari Raya Haji atau Hari Raya Aidiladha ialah perayaan Islam yang memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam mentaati perintah Allah SWT.
Ia dinamakan Hari Raya Korban kerana umat Islam melaksanakan ibadah korban dengan menyembelih haiwan ternakan seperti lembu, kambing atau unta sebagai tanda ketaatan kepada Allah SWT.
Ibadah korban hukumnya sunat muakkad, iaitu sunat yang sangat dituntut bagi umat Islam yang mampu.
Korban digalakkan kepada umat Islam yang mempunyai kemampuan kewangan dan memenuhi syarat-syarat tertentu.
Antara haiwan yang dibenarkan ialah:
– Lembu
– Kerbau
– Kambing
– Biri-biri
– Unta
Haiwan tersebut mestilah cukup umur dan bebas daripada kecacatan.
Ibadah korban dilakukan selepas solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijjah sehingga sebelum matahari terbenam pada 13 Zulhijjah.
Tidak wajib. Malah, umat Islam disunatkan untuk tidak makan sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha.
Antara amalan sunat yang digalakkan:
– Mandi sunat Hari Raya
– Memakai pakaian terbaik
– Bertakbir
– Menunaikan solat sunat Aidiladha
– Bersedekah
– Ziarah-menziarahi




